Monday, August 26, 2013

Berapa Harga Tunaikan Ibadah Qurban melalui Ustaz Mansor?

Banyak pihak sebelum ini telah menunaikan ibadah Qurban di Kemboja. Alhamdulillah dengan cara ini kita dapat membantu saudara-saudara kita di sana. Dan mereka dari kalangan yang miskin melampau yang sememangnya ramai di sana dapat merasa sedikit nikmat memakan daging lembu dan kambing.

Kebanyakan orang Islam Cham di Kemboja sebenarnya langsung tidak dapat makan daging lembu atau kambing kecuali SETAHUN SEKALI sahaja iaitu semasa musim raya haji. Selain dari itu, kalau ada dermawan kampung yang nak menjamu orang kampung makan daging, barulah mereka dapat merasa makan daging, dan itupun 2 ke 3 kali setahun sahaja.. Kalau tidak, asyik makan ayam dan ikan sahajalah tiap-tiap hari.

Di bawah ini ialah satu contoh iklan yang disebarkan di masjid dan surau di Malaysia mengenai ibadah Qurban yang dijalankan di Kemboja yang saya snap di sebuah masjid berdekatan rumah baru-baru ini. Kalau dilihat, kos Qurban yang ditawarkan memang murah iaitu sebanyak RM1850 untuk seekor lembu.


Walaubagaimanapun sekiranya pembaca ada yang nak lebih murah lagi, memang ada. Ustaz Mansur kita ni memang setiap tahun melakukan ibadan Qurban di Kampung Koh Sotin. Dan ramai di antara yang menghantar wang kepada beliau untuk tujuan tersebut ialah orang Malaysia. Harga Qurban yang dilaksanakan oleh Ustaz Mansur ialah sebanyak RM1500 sahaja untuk seekor lembu.

Ustaz Mansur dapat menawarkan harga yang lebih rendah daripada yang dalam iklan tersebut ialah kerana beliau memang tidak mengenakan harga yang mahal dalam apa-apa urusan yang dilakukannya, kerana lebih pentingkan pahala daripada keuntungan duniawi.

Alasan kedua ialah kerana bagi mereka yang berminat, perlu terus membuat bayaran kepada akaun bank beliau di Public Bank Cawangan Kemboja di bawah thread ini iaitu di bawah tajuk INFAK FI SABILILLAH. Dengan cara ini, pembaca yang berminat tidak perlu melalui orang tengah yang pastinya akan mengenakan cas tambahan atau komisyen.

Bahkan beliau pernah menyatakan kepada saya bahawa harga modal beliau membeli seekor lembu ialah RM1400 sahaja dan RM100 ialah untuk tujuan pengangkutan iaitu untuk mengangkut lembu-lembu tersebut dengan lori.

Keuntungan lain yang dapat diperolehi daripada menunaikan Qurban di Kemboja ini secara umumnya ialah lembu-lembu Kemboja bersaiz extra large, ada yang hampir tinggi dengan manusia dewasa. Sila rujuk thread lama di bawah tajuk Klip Video Di Kampung Koh Sotin, dalam klip video yang ketiga.Apabila lembunya besar, maka dagingnya pun banyaklah, dan dengan itu semakin ramailah orang miskin yang dapat merasa makan daging Qurban kita, in sya Allah.

Di bawah ini ialah gambar-gambar ibadah Qurban yang dilakukan sendiri oleh Ustaz Mansur di Pulau Koh Sotin pada tahun-tahun yang lepas.

Ustaz Mansur sendiri yang menyembelih lembu Qurban. Nama-nama mereka yang memberi wang mereka kepada Ustaz Mansur untuk tujuan ini turut ditayangkan di belakang.


Kaum wanita sedang memotong daging untuk disedeqahkan kepada fakir miskin

Sunday, August 25, 2013

Wajah-wajah orang bot Muslim Cham

Pulau Koh Sotin dalam wilayah Kampung Cham (yang panjang dan melengkok)


Orang-orang Cham di Pulau Koh Sotin ada yang tinggal di rumah-rumah tinggi dan ada yang tinggal di dalam bot. Bagi yang tinggal di rumah-rumah tinggi yang diperbuat daripada kayu dan papan, itu dianggap golongan sederhana bagi standard penduduk kampung ini, sementara yang tinggal di rumah tinggi batu dianggap golongan mewah atau separa mewah. tetapi majoritinya tinggal di rumah tinggi papan.

Penulis di rumah tinggi berwarna pink milik Ustaz Mansor - supaya mudah dikenali oleh pengunjung dari jauh, agaknyalah


Walaubagaimanapun golongan terakhir di tangga terbawah ialah yang dinamakan "orang bot". Memang itulah namanya secara harfiah yang digunakan di sini kerana perkataan "orang" itu adalah sama dengan "orang" yang orang Melayu gunakan. Seperti yang saya pernah nyatakan sebelum ini, bahawa bahasa Cham mengandungi 20% perkataan Melayu.

Mereka adalah saudara "bau bacang" kepada orang Melayu. Dan tidak mustahil juga mereka merupakan sebahagian daripada nenek-moyang kita beratus-ratus tahun dahulu yang kita memang tak dapat kesan lagi sekarang. Ini kerana penghijrahan akibat peperangan, dakwah dan perniagaan sememangnya banyak berlaku di antara negeri-negeri dan wilayah-wilayah dalam Nusantara ini.

Orang-orang bot ini walaupun duduk di tangga terbawah di antara lain-lain kategori penduduk di Pulau Koh Sotin ini, namun mereka bukanlah seperti golongan Pariah di dalam masyarakat Hindu di India. Mereka tidak menganggap diri mereka begitu dan juga tidak dipandang dan dilayan sedemikian rupa oleh masyarakatt Cham setempat di pulau yang sama ini.

Bahkan mereka ini mempunyai jatidiri dan maruah yang sememangnya dijaga dengan rapi oleh mereka. Mereka tidak pergi meminta sedeqah ke rumah-rumah orang, tetapi mempunyai pekerjaan mereka sendiri iaitu menangkap ikan di Sungai Mekong. Dan ramai juga di kalangan mereka ini masih mampu menunaikan solat 5 lima waktu di masjid dan surau serta kaum perempuan mereka yang sudah akil baligh menutup aurat kesemuanya. Ini dapat saya perhatikan di Pulau Koh Sotin ini.
Orang Bot sedang mencari rezeki di Sungai Mekong
Bot yang dihuni Orang Bot sedang parking di tepi Sungai Mekong di Puau Koh Sotin
Ketua keluarga Orang Bot

Ustaz Mansor bersama dengan Orang Bot di Pulau Koh Sotin. Mereka ini merupakan ahlul masjid yang setia bersolat fardhu di masjid berhampiran dan bot-bot mereka pun sentiasa di parking berdekatan dengan masjid dan madrasah.
Keluarga Orang Bot - lengkap dengan ayah, ibu dan anak-anak - semuanya tinggal menetap di dalam bot

Kaum wanita Orang Bot yang sentiasa menutup aurat sepanjang masa
Baru selesai makan tengahari
Bayangkan anda adalah anak kecil ini, yang tinggal menetap di dalam bot sekecil ini, makan dan tidur serta beranak-pinak di dalamnya selama berpuluh-puluh tahun sehingga dapat anak, kemudian anak itu pula berkahwin dengan Orang Bot juga dan begitulah seterusnya kehidupan anda. Seharusnya kita mengambil pengajaran dan insaf dan selepas itu bantulah mereka dengan kemampuan yang ada pada kita.




Thursday, August 22, 2013

Kesilapan Ejaan

Saya baru dikhabarkan oleh saudara "MatZen", seorang pensyarah di UKM, yang dilahirkan di Kemboja, bahawa ejaan sebenar bagi Pulau Kosten sebenarnya ialah Pulau Koh Sotin. Harap Maklum.

Mengapa Bersedeqah Di Kemboja? Di Malaysia kan ramai yang miskin?

Ada sesetengah pihak bertanyakan saya soalan ini - mengapa tuan bersedeqah di Kemboja, sedangkan di negara Malaysia kita pun masih ramai orang miskin?

Benar, di Malaysia pun memang terdapat ramai golongan miskin. Cuma bezanya orang miskin di Malaysia mendapat perhatian dan bantuan material daripada pihak kerajaan Malaysia dan juga perhatian daripada rakyatnya yang kaya atau berduit. Golongan seperti di Malaysia pula ramai yang suka bersedeqah sehingga begitu ramai peminta sedeqah daripada negara lain datang ke Malaysia untuk meminta sedeqah dan kebanyakan mereka ini berjaya pula di dalam usaha mereka itu.

Adapun di Kemboja, orang miskinnya tidak LANGSUNG mendapat perhatian, apatah lagi bantuan material daripada pihak kerajaannya. Kalau adapun rakyat Muslimnya yang kaya, golongan tersebut kebanyakannya lebih suka berenak-enakan di dalam kekayaannya daripada membantu saudara mereka yang miskin. Inilah yang saya lihat sendiri di sana dan juga dikhabarkan oleh Ustaz Mansor dan rakan-rakannya sendiri.

Tidak kurang juga yang menyatakan bahawa orang Kemboja yang datang berniaga kain dan sebagainya di Malaysia sudah menjadi kaya-raya. Benar, tetapi persoalannya adakah mereka yang sudah kaya-raya ini membantu saudara mereka di tanahair mereka sendiri? Saya juga mendapat jawapan yang negatif daripada teman-teman saya di Kemboja. Mungkin ada, tetapi kita sahaja yang tidak nampak hasilnya secara fizikal.

DI Pulau Koh Sotin (kesilapan mengeja sebelum ini, maaf. Bukan Kosten, tetapi Koh Sotin) misalnya, saya dapat melihat kuil-kuil dan berhala yang besar dan cantik. Saya dikhabarkan oleh Ustaz Mansor bahawa semuanya itu atau kebanyakan kosnya ditanggung oleh kerajaan. Tetapi untuk membina masjid, pihak kerajaan Kemboja memang tidak pernah memberikan sebarang bantuan kepada rakyat Islamnya.

Ustaz Mansor mengkhabarkan bahawa beliau sendiri beberapa kali telah datang ke Malaysia untuk memohon derma daripada masyarakat Muslim di Malaysia, kerana apa? 

Pernahkah rakyat Malaysia yang miskin pergi ke Kemboja atau negara lain yang lebih mewah untuk memohon derma? Jarang sangat kedengaran kan? Pernahkah seorang pun daripada mereka yang bermazhab "tolong orang sendiri dahulu" ini pergi melihat sendiri keadaan kemiskinan melampau di negara Kemboja dan bagaimana peritnya ustaz-ustaz dan pelajar-pelajarnya hidup, makan dan tinggal di sana?

Keadaan dalam bilik kelas yang serba dhaif


Sekiranya kita sentiasa bersedeqah kepada umat Islam miskin yang menjadi minoriti di negara bukan Islam, perlukah mereka datang ke negara kita untuk meminta sedeqah? Mungkin perlu tetapi tidaklah seramai mana yang akan datang.

Sekiranya kita membantu mereka dengan mewujudkan pelbagai projek seperti projek pertanian atau penternakan, adakah perlu lagi bagi mereka untuk datang sendiri dan mencari pekerjaan atau berniaga di negara kita, dan seterusnya mewujudkan pelbagai masalah sosial dan ekonomi kepada negara ini? Sudah tentu tidak.

Ustaz Mansur Nasir - antara ustaz-ustaz yang sanggup berkorban diri dan harta dengan tetap tinggal dii Kampung Koh Sotin yang serba dhaif untuk meneruskan kerja-kerja dakwah daripada berhijrah ke tempat lain yang lebih selesa dan subur halamannya

Misi Bantuan Qurban

Saya juga pernah mendengar semacam fatwa dikeluarkan di Malaysia ini oleh sesetengah pihak, yang memang tiada autoriti sebagai mufti, tentang haram hukumnya umat Islam di Malaysia menjalankan ibadah Qurban di Kemboja selepas ini. Alasannya ialah kerana di Malaysia ini masih ramai umat Islam yang miskin - samalah juga seperti alasan di atas.

Tetapi pernahkah mereka mendengar bahawa di bandar-bandar besar di Malaysia ini pernah terdapat masjid-masjid yang menyembelih lembu terlalu banyak sehingga berpuluh-puluh ekor pada Hari Raya Korban? Dan daging-daging tersebut tertinggal busuk begitu sahaja kerana tiada orang yang datang mengambilnya?

Sebenarnya sehingga kini saya pun merasa peliklah sangat, mengapa masih ada orang yang tidak faham erti sedeqah dan qurban sehingga mengehadkan batasan sempadan negeri untuk melaksanakan kedua-dua ibadah ini?

Memang ada dinyatakan di dalam al-Quran bahawa keutamaan berinfak ini haruslah didahului dengan kaum keluarga sendiri dahulu, kemudian jiran tetangga, seterusnya pergi daripada yang dekat kepada yang jauh dan lebih jauh lagi.

Tetapi bagaimana keadaannya sekiranya pihak 8 asnaf di Malaysia ini dibantu oleh pelbagai organisasi samada oleh Jabatan Agama Negerinya, Baitulmalnya, NGOnya dan orang-orang kayanya? Sedangkan keadaan yang sama tidak wujud di negara-negara seperti Kemboja dan Myanmar?

Pepatah Melayu ada menyebut, "kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan". Inilah di antara alasan yang digunakan oleh golongan yang tidak gemar membantu golongan miskin di luar negara, walaupun bangsa tersebut ada mengucapkan perkataan dan istilah Melayu di dalam bahasa mereka sebanyak 20%, iaitu bangsa Melayu Champa. Sebenarnya kalau diperhatikan betul-betul, kebanyakan daripada anak-anak di rumah telah elok dan sempurna makan-pakainya, tetapi "kera di hutan" yang bercakap bahasa yang agak sama dengan kita dan beragama Islam itu masih terlalu ramai yang hanya makan sekali sehari, itupun kalau mereka makan langsung dalam sehari, dan bertelanjang.

Sekiranya umat Islam miskin di negara-negara tersebut di datangi oleh puak-puak missionary atau pendakyah Kristian, lalu mereka menaburkan wang dan pelbagai bantuan, lalu ada yang sanggup murtad disebabkan kepapaan yang melampau, adakah kita yang bermazhab "tolong orang sendiri dahulu" ini tidak akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT di sana nanti?

Walaubagaimanapun gejala murtad ini jarang sangat kedengaran berlaku di Kemboja. Sehingga sekarang pegangan umat Islamnya kepada agama masih kental walaupun ada yang masih terpaksa tinggal di dalam bot atau sampan sahaja. Walaupun tinggal di dalam bot dan sampan yang kecil, terpaksa duduk sepanjang masa dan tidak boleh berdiri kerana paras bumbungnya di paras pinggang sahaja, masih ramai di kalangan mereka ini masih mampu bersolat fardhu di masjid bila azan kedengaran.

Tempat tinggal TETAP sebahagian orang Cham MUSLIM bersama keluarganya sekali. Mereka ini parking bot masing-masing dekat dengan kawasan masjid dan madrasah (di belakang sana) supaya mudah ke masjid untuk bersolat jamaah.


Tetapi di Malaysia? Memang ramai yang mewah, tetapi rupa-rupanya, bagi kebanyakan mereka, kemewahan merekalah yang menjadi penghalang untuk mereka bersolat fardhu di masjid, kecuali solat Jumaat dan Hari Raya.

Saturday, August 17, 2013

Wilayah Kampung Cham dan Sejarah Penghijrahan Bangsa Cham


Ketika berlaku penghijrahan massa orang-orang Champa secara berperingkat-peringkat daripada bekas Empayar Champa mereka di negara Vietnam Tengah dan Selatan, sejak daripada kurun ke-14 sehingga kurun ke-19M, akibat daripada peperangan yang bertali arus daripada utara oleh kaum Dai Viet dalam tempoh tersebut, kebanyakan daripada mereka ini telah menetap di negara Kemboja dan mengambil negara ini sebagai negara angkat mereka sehingga sekarang dan mungkin sampai bila-bila.

Sebelum itu mereka adalah orang laut di Vietnam, sebagaimana orang Melayu juga pada ketika itu merupakan orang laut di Nusantara. Bahasa perdagangan pada ketika itu di Nusantara ialah bahasa Melayu. Mungkin ini di antara faktor, selain daripada faktor agama Islam, mengapa bahasa Melayu banyak mempengaruhi bahasa Cham, sehingga ada orang Cham yang boleh berbahasa Melayu menyatakan bahawa bahasa mereka mengandungi 20% perkataan bahasa Melayu, walaupun kadang-kadang sebutannya pelik sedikit. Contohnya laki-laki disebut lakai-lakai. Tetapi perempuan lain pula jadinya: kemai-kemai. Kalau kita menyebut "tuan-tuan dan puan-puan", mereka menyebut "tuan-tuan dan kemai-kemai". Mereka juga menggunakan perkataan Tuan. Perkataan ini saya dengari disebut di loud speaker dalam satu pengumuman di dalam sebuah masjid di Pulau Kosten.

Ramai yang tidak sedar bahawa bahasa Cham dan bahasa orang Aceh di Indonesia macam adik-beradik. Sebenarnya orang Aceh itu adalah asalnya pelarian Champa yang tiba di Aceh secara beringkat-peringkat dan dalam tempoh yang panjang. Sebab itulah bahasa Aceh tidak seperti bahasa Melayu dan tidak seperti bahasa Jawa, padahal letaknya benar-benar hampir dengan daerah penutur kedua-dua bahasa tersebut. Akibat daripada peperangan, orang-orang Champa telah bertebaran ke seluruh Nusantara dalam tempoh 6 hingga 7 kurun sehingga keturunan mereka merupakan nenek-moyang kita yang kita dah tak kenal lagi.

Ada sejarah yang mencatitkan bahawa Pengkalan Chepa di Kelantan itu berasal daripada perkataan Pengkalan Champa, walaupun ada orang Kelantan meriwayatkan asal-usulnya ialah daripada seorang tua dn berpengaruh yang tinggal di situ yang bernama Che' Pa. Sejarah mencatitkan bahawa pada akhir kurun ke-17, telah berlaku peperangan yang dahsyat di saki-baki Empayar Champa terakhir di selatan Vietnam yang kini dipanggil oleh orang Vietnam sebagai wilayah Phan Rang, yang sebenarnya singkatan bagi nama asalnya iaitu Panduranga. Peperangan ini merupakan satu genocide atau ethnic cleansing orang Champa oleh bangsa Vietnam.

Majoriti mangsa peperangan ini yang tidak berkemampuan atau yang tinggal di daerah-daerah pendalaman telah berhijrah ke Kemboja yang pada waktu itu diperintah oleh seorang raja berbangsa Khmer Buddha. Yang memisahkan Vietnam dengan Kemboja ialah sungai dan bukit. Maka pelarian-pelarian ini pun mendapatlah suaka politik di Kemboja sehingga hari ini.

Adapun orang-orang Cham yang berduit atau memang tinggal dan bekerja di laut dan mempunyai sampan atau kapal, kebanyakan mereka ini telah melarikan diri ke negara-negara Nusantara yang ketika itu digelar Tanah Melayu. Maka ramailah yang lari ke wilayah Patani dan Kelantan. Di Kelantan, ramailah yang tersadai di daerah yang sekarang dinamakan Pengkalan Chepa. Mereka datang bertali arus seperti kapal-kapal yang membawa pelarian Vietnam ke Malaysia pada tahun-tahun Pol Pot dahulu. Kalau dahulu orang Vietnam menghalau orang Cham, kini orang Vietnam pula dihalau daripada tanahair oleh bangsa sendiri akibat peperangan.

Kalau diperhatikan perkataan Chepa itu memang berasal daripada perkataan Champa. Atau ianya merupakan korupsi bahasa dengan berlalunya masa dan dialek tempatan. Orang Kelantan biasanya tidak boleh menyebut "cham". Bunyi "cham" akan ditukar oleh lidah orang Kelantan menjadi "Cha". Contohnya jikalau kita suruh orang Kelantan di kampung yang tidak berpelajaran untuk menyebut perkataan "champur", dia akan menyebut "chapur". Maka jadilah Pengkalan Champa tadi --> Pengkalan Chapa, dek beratnya lidah anak tempatan Kelantan tadi untuk menyebutnya dengan betul. Kemudian selepas 400 tahun, kemungkinan orang Kelantan sudah semakin berat lidahnya, maka jadilah Pengalan Chepa.

Bahasa memang cepat berubah bunyinya. Contohnya bahasa Melayu hanya 50 tahun yang lepas seperti dalam filem-filem P. Ramlee dibandingkan dengan bahasa Melayu sekarang pun sudah banyak perbezaannya, apatah lagi kalau 400-500 tahun.

Teori ini ada benarnya kerana perkataan "empat" dahulunya disebut oleh orang Melayu sebagai "ampat" seperti Simpang Ampat di Rembau, Negeri Sembilan yang masih digunakan pada papan tanda Lebuhraya PLUS. Jadi dengan berlalunya masa yang panjang, bunyi A sudah bertukar menjadi bunyi E baris di atas, macam beras.

Kembali kepada tajuk asal di atas, maka berhijrahlah bangsa Champa akibat dek peperangan dengan bangsa Vietnam yang berlainan agama, bahasa dan adat resam itu. Bangsa Vietnam itu memanglah berbeza segalanya kerana mereka itu datang daripada utara iaitu negara China. Sila lihat peta negara asal Champa di bawah tajuk PENGALAMAN 9 HARI DI KEMBOJA TERMASUK HARI RAYA PUASA.

Majoriti paling besar orang Champa ini berhijrah dan menetap di Kemboja, kedua di Tanah Melayu termasuk Patani dan ketiga di Thailand. Tetapi ramai juga yang tidak berganjak ke mana-mana dan masih menetap di negara asal mereka Champa yang kini telah menjadi Vietnam. Adapun yang berhijrah dan menetap di Aceh, mereka itu kini menjadi seperti bangsa misteri dan tidak dikategorikan oleh data-data rasmi sebagai bangsa Cham, sebaliknya sebagai bangsa Aceh.

Adapun yang berhijrah ke Kemboja itu, mereka biasanya akan menetap di sepanjang Sungai Mekong.


Sungai Mekong
Kalau dilihat, Sungai Mekong yang berasal daripada negara China itu akan mengalir melalui negara Laos, Kemboja dan akhirnya ke Vietnam. dan anak-anak sungainya yang lain akan melalui Thailand sehingga ke Bangkok. Maka orang-orang Cham yang berhijrah ke Kemboja itu akan menjadikan sungai Mekong itu sebagai tempat tinggal baru mereka. Ini banyak difaktorkan oleh sifat orang-orang Cham itu yang seperti bangsa Melayu adalah merupakan orang laut dan rezekinya juga adalah di laut dengan menangkap ikan.

Oleh kerana itu, pada pada hari ini, perkampungan orang Cham adalah berpusat di tempat di mana mereka boleh menangkap ikan termasuklah di tasik seperti di Tasik Tonle Sap yang luas itu yang terletak di tengah Kemboja. Di dalam perkampungan Pulau Kosten dalam wilayah Kampung Cham, penumpuan mereka juga adalah di tepi sungai Mekong. Mereka lebih mahir membuat peralatan mengangkap ikan seperti sampan dan jala berbanding orang Khmer yang tinggal sekampung.


Perkampungan tepi sungai orang Cham di Pulau Kosten


Di Pulau Kosten, orang Khmer tinggal di pedalaman sedikit dan bekerja dengan bertani dan menternak lembu, sementara orang Cham tinggal di tepi sungai dengan menangkap ikan, walaupun ada yang menternak lembu juga. Apabila saya melalui sebuah kawasan tepi sungai di pulau tersebut dan ternampak beberapa orang anak muda sedang memahat kayu untuk membuat sampan, Ustaz Mansor memberitahu saya bahawa orang Khmer tidak pandai membuat sampan. Kalau mereka buat pun, sampan itu tidak sebaik sampan orang Cham dan tidak sebesar sampan orang Cham. Beliau tidak tahu mengapa tetapi apabila saya jelaskan kepadanya sejarah orang Cham yang memang tinggal di tepi laut satu ketika dahulu, barulah beliau faham.

Tetapi kini semakin ramai orang Cham yang tinggal di kawasan yang lebih pedalaman yang tidak ada sungai atau laut. Ini adalah satu fenomena baru. Ada di antara mereka yang telah merasa semakin sempit kehidupannya kerana jumlah ikan di Sungai Mekong sudah semakin berkurangan. Adakalanya mereka pergi menangkap ikan, akan balik tangan kosong atau terlalu sedikit hasil tangkapannya berbanding dulu.

Salah satu kawasan yang saya lawati ialah sebuah bandar, atau mungkin pekan sahaja mengikut standard Malaysia, yang bernama Snoole (baca snul) yang terletak berhampiran sempadan Vietnam di timur laut Kemboja. Di sini terdapat sebuah perkampungan yang ramai penduduknya terdiri daripada orang Cham dan mereka itu tidak menangkap ikan kerana tiada sungai di situ sebaliknya mereka di sini bertani, satu profesyen yang baru jika dinisbahkan kepada orang Cham.





Asal Nama Siet Saut (Ustaz Mansor Bin Nasir)

Nama rasmi Ustaz Mansor ialah Siet Saut. Nama sebenarnya iaitu Mansor Bin Nasir tidak tercatat di mana-mana dokumen rasmi. Ini kerana seperti di Thailand, intergrasi nasional rakyat Kemboja termasuklah mempunyai nama seperti rakyat majoriti. Jadi apa yang pegawai kerajaan di Jabatan Pendaftaran dengar ketika hendak mendaftarkan nama anak, itulah nama kita yang rasmi.

Di Kemboja, nama bapa didahulukan daripada nama anak iaitu Nasir duduknya di depan dan Mansor di belakang atau Nasir Mansor, bukan sebaliknya. Seperti juga nama orang Cina, nama bapa atau surname seperti Lim itu duduknya di depan seperti Lim Ah Lek.

Kemudian nama Nasir tadi susah disebut pada lidah orang Khmer, sebab itu mereka mengambil bunyi yang hujung sahaja. Maka bunyi "sir" pada Nasir itu menjadilah ia Siet. Adapun bunyi "sor" pada Mansor itu menjadilah ia Saut, so SIET SAUT, macam bunyi "Nasit Mansot" gitu. Mungkin juga orang Khmer ni adik-beradik dengan orang Melayu Kedah kita kot...hehe.

Paspot Ustaz Siet Saut @ Nasir Mansor @ Mansor Nasir

Friday, August 16, 2013

Pakej Pelancongan Kos Rendah di Kemboja



Boleh dikatakan sebanyak 80% pelancong dari Malaysia atau dari mana negara pun mencari kadar kos pelancongan yang rendah walau ke mana sahaja destinasi mereka. Sebab itu sebelum bertolak, mereka akan browse internet dulu, pertama sekali untuk mencari hotel-hotel berharga murah, kerana ini sahaja komoditi yang ada kadarnya yang berbeza-beza contohnya ada hotel 5 star, 4 star dan sebagainya.

Adapun perkara lain seperti tiket masuk ke tempat-tempat menarik, biasanya sudah ditetapkan dan bahkan harganya lebih mahal untuk orang luar berbanding rakyat tempatan. Begitu juga dengan tambang dan pengangkutan, tak boleh nak tawar-menawar lagi, sehingga kita bertemu sendiri dengan pemandu kenderaan tersebut.

Bagi bakal pelancong ke Kemboja, kami menyediakan alternatif kepada 3 perkara iaitu, tempat tinggal, makan-minum dan pemandu pelancong anak tempatan yang beragama Islam, semasa di negara ini. Adapun tiket kapalterbang, anda sediakanlah sendiri ya. Begitu juga kos tiket-tiket untuk masuk ke tempat-tempat menarik contohnya The Killing Fields di Siem Reap, adalah disediakan oleh anda sendiri.

Tempat Tinggal

Kami menyediakan tempat tinggal yang boleh dikatakan selesa untuk anda yang jenis adventure. Maksudnya golongan yang tak kisah dan boleh tidur hanya di atas lantai papan dengan beralasakan tilam atau toto sahaja. Tetapi mempunyai kemudahan asas seperti bilik air di dalam bilik tidur dan kipas angin. Rumah yang dimaksudkan ialah rumah Imam 1 Masjid An-Naemah Kilometer 8 Pnom Penh, Ustaz Muslim. Rumah beliau ialah sebuah rumah kampung yang terletak di dalam kawasan pinggir bandar macam rumah kampung di Sentul la gitu. Tapi rekabentuknya memang pelik sikit terutamanya tiang-tiang serinya yang tinggi sampai 4 meter tu.

Ustaz Muslim telah membuat sebuah bilik tingkat atas untuk tetamu-tetamunya yang datang dari jauh khususnya dari Malaysia dan luar Pnom Penh. Rumah beliau letaknya di belakang masjid tersebut lebihkurang 20 meter dari masjid. Jadi adalah mudah bagi tetamu untuk bersolat jamaah di masjid ketika berada di situ.

Persekitaran rumah tersebut kesemuanya terdiri daripada orang Cham beragama Islam. Dan masjid tersebut sendiri merupakan sebuah sekolah agama dan mengendalikan pengajian-pengajian agama dan ada sebuah asrama pelajar di sebelahnya. Jarak di antara rumah Ustaz Muslim ke jalan utama hanya dalam 20 meter sahaja. Dan di jalan besar tersebut tidak sukar untuk mendapatkan keperluan asas seperti top-up untuk henfon dan lain-lain.

Kos tidur di hotel di bandar Pnom Penh berbeza-beza di antara usd20 sehinga usd50 untuk satu malam. Bezanya hanya keselesaan dan keselamatan. Ini kerana kerap kedengaran aduan penghuni hotel kos rendah bahawa mereka kehilangan barang berharga seperti kamera dan sebagainya ketika keluar daripada hotel untuk bersiar-siar.

Makan-minum

Mencari makanan halal adalah satu adventure by itself sekiranya anda berada di dalam sebuah negara yang Muslimnya adalah dalam jumlah yang sangat minoriti. Dan Muslim di seluruh Kemboja adalah seramai 5% sahaja. Besar lagi nisbah orang India di Malaysia kita. Memang ada kedai menjual makanan halal di Pnom Penh atau di wilayah lain.

Biasanya restoran makanan halal di Pnom Penh dimiliki oleh rakyat Malaysia tak kira Melayu atau Mamak. Tetapi makanan di restoran makanan halal ini tersangatlah mahal. Kebiasaannya harga sepinggan nasi, lauk dan minuman adalah di sekitar RM15 untuk seorang sekali makan tengahari. Takkan nak makan maggi je tiap-tiap hari. Ops...mungkin boleh kalau anda hanya tinggal 2 ke 3 hari sahaja di Kemboja ni kan.

Makan makanan Melayu di Restoran Mamak di Pnom Penh

Anda boleh cuba makanan orang Cham but believe me, you will refer back to Malaysian food after 2 or 3 trials. Entahlah...mungkin orang kita ni dah biasa makan cukup dengan segala rempah ratusnya.

OK. Katalah anda boleh mengatasi masalah makanan di Kemboja ni, janji halal. Tapi selepas pukul 9 malam, biasanya kedai semua sudah atau hampir nak tutup. I mean SEMUA. Jadi bagi anda yang tak biasa berlapar di larut malam sebab dah biasa dengan night life di Malaysia, terpaksalah tapau makanan waktu siang tadi sikit atau siapkan maggi lebih sikit ya.

Tetapi di rumah Ustaz Muslim, ada alternatifnya. Sekiranya anda tinggal di rumah beliau, isterinya akan menyediakan makanan untuk anda sebanyak 3 kali sehari iaitu sarapan, makan tengahari dan makan malam. Kesemuanya makan nasi dengan lauk yang kira ok lah. Sebab mereka ni memang tau selera orang Malaysia. Anda tak perlu nak tapau makanan siang hari tadi, anda boleh makan makanan yang fresh dan baru dimasak. Anda pun tak perlu nak mengembara di malam hari untuk mencari restoran halal yang masih dibuka...memang tak ada pun.

Dan yang paling penting, anda boleh jimat banyak untuk makanan. Ini kerana untuk kedua-dua tempat tinggal dan makan 3 kali sehari ini, Ustaz Muslim mengenakan bayaran usd20 sehari sahaja. Harga ni dah kira tetap, walaupun anda hanya makan sekali atau 2 kali sehari sebab mungkin anda berada di luar pada siang hari dan makan di luar ketika itu. Siapa suruh makan di luar kan...hehe.

Pemandu Pelancong

Pemandu pelancong memang penting sangat terutamanya kalau anda berjalan di negara yang penduduknya tak pandai cakap omputih, i mean English. Orang Kemboja memang tak pandai cakap omputih. Siswazah universiti pun boleh cakap 5% omputih sahaja. Papan tanda pun tak banyak cakap omputih. Kebanyakannya 90% masih menggunakan bahasa Khmer dengan tulisannya yang melengkok-lengkok macam tulisan Siam itu.

Hanya golongan yang betul-betul adventure atau yang pergi melancong secara berjamaah sahaja yang berani jalan bersendirian tanpa pembantu pelancong di sini. Tapi kalau yang dah berumur sedikit atau lebih 45 ke atas, adalah dinasihatkan untuk menggunakan khidmat pemandu pelancong. Dan nak cari pemandu pelancong yang boleh cakap Melayu, beriman dan jaga solat serta amanah bukanlah satu perkara yang mudah, di mana-mana sahaja. Tetapi itulah sifat-sifat yang ada pada seorang pemandu pelancong yang anda akan dapat melalui pakej ini.

Ini kerana pakej ini adalah diusahakan oleh ustaz-ustaz dan imam-imam yang bertaqwa, mampu bercakap Melayu dengan baik, dan bahasa Khmer bagi mereka macam bahasa ibunda mereka sendiri. Dan yang penting, mereka ini ada skill untuk tawar-menawar bagi pihak anda semasa anda bershopping. Berapa banyak anda boleh jimat dengan cara ini berbanding jika anda sendiri yang tawar-menawar dengan penjual. Ini kerana di sini, harga barang memang jarang sangat dipaparkan pada barang jualan. Ikut sedap diorang je nak letak berapa. Orang luar macam kita ni memang selalu kena ketuk, sebab ada yang rela diketuk.

Pengalaman saya sendiri berjalan dengan seorang pemandu pelancong yang bernama Ustaz Mansor, sehelai seluar jeans Levi Strauss (harap-harap memang ori la) yang harga awalnya diletak usd23 berjaya diturunkan kepada usd15. Dan barang-barang lain pun begitu juga. Tapi kalau anda memang tak kisah atau malas nak tawar-menawar, atas sebab-sebab tertentu, selesailah masalah yang ini bagi anda. Kalau pemandu tuk-tuk minta usd10 pun anda bagi je la, sedangkan harga sebenarnya adalah RM10 je.

Sebenarnya dengan hanya RM30, anda boleh menyewa sebuah tuk-tuk selama sehari untuk dia membawa anda berjalan-jalan dengan tuk-tuknya di sekitar Pnom Penh sehinggalah anda pulang. Kalau anda tinggal di rumah Ustaz Muslim, anda hanya perlu menunggu tuk-tuk di depan masjid km8 tersebut dan anda akan diletakkan semula di situ oleh tuk-tuk yang sama bila pulang nanti. Kita ingat harga tu murah sangat berbanding di Malaysia, tetapi itulah "harga patut" di sini.

Kemudian masalah solat, sebab kebanyakan rakyat Malaysia memang jaga solat. Kalau anda terlupa sebab syok sangat bershopping, ustaz-ustaz ini akan mengingatkan anda untuk bersolat dan akan mencarikan masjid atau musalla untuk anda dan dia sekali bersolat.

Berapa kos pemandu pelancong ni untuk sehari?

Ok kos bagi perkhidmatan seorang pemandu pelancong hanya usd20 sehari + kos tambang dia sendiri. Contohnya sekiranya dia menaiki bas bersama anda, tambang basnya dan tambang bas anda sendiri adalah ditanggung oleh anda. Dan sekiranya anda bermalam di daerah luar daripada Phnom Penh dan Kampung Cham, anda juga perlu menanggung kos tempat tinggalnya. Atau anda bermalamlah dengannya di satu tempat yang sama untuk jimat kos.

Apakah destinasi-destinasi yang dicover oleh pemandu pelancong ini?

Pemandu pelancong yang terdiri daripada golongan ustaz-ustaz ini boleh membawa anda ke mana sahaja destinasi yang anda ingin pergi di dalam negara Kemboja walaupun sehingga ke Vietnam. Kerana ramai juga orang Malaysia yang ingin ke Vietnam untuk ziarah dan shopping kerana di sana, barang-barang pakaian juga sangat murah.

Walaubagaimanapun kemudahan homestay buat masa ini hanya terhad kepada 2 destinasi sahaja iaitu Phnom Penh dan Kampung Cham, iaitu di rumah Ustaz Muslim sekiranya di Phnom Penh dan di rumah Ustaz Mansor sekiranya di Kampung Cham. Dan kos tinggal di kedua-dua homestay ini telah pun dijelaskan di atas iaitu usd20 untuk sehari semalam termasuk makan-minum. Mungkin selepas ini kami akan menambahkan tempat tinggal di daerah lain dalam Kemboja.

Projek Pertanian Dan Penternakan DI Kemboja

Under construction

Klip Video Di Pulau Koh Sotin






Klip 1.   Menaiki Bot ke Pulau Koh Sotin, kelihatan madarasah di tebing Sungai Mekong ini.

Klip 2:   Sahabat baru saya, sdr Ibrahim, sedang mengemudi botnya. Beliau pernah tinggal dan bekerja di Pulau Pinang selama 4 tahun dan boleh berbahasa Melayu.

Klip 3:   Lembu-lembu di Kemboja. Memang besar-besar saiznya berbanding lembu di Malaysia.

Klip 4:   Saya membelakangkan Sungai Mekong dan Pulau Koh Sotin.

Klip 5:   Sedang menaiki motosikal untuk pergi ke Kampung Hujong di Pulau Koh Sotin. Sempat mengambil gambar-gambar rumah orang Khmer dan Champa yang tinggal berjiran.

Klip 6:   Ustaz Mansor sedang memberikan khutbah Hari Raya Eidul Fitri.

Klip 7:   Mengikut penduduk-penduduk kampung menziarah kubor selepas solat Raya.

Klip 8:   Ustaz Mansor sedang memberikan tazkirah. Di masjid Pulau Koh Sotin ini, hampir setiap kali lepas solat fardhu, pasti ada tazkirah ringkas.


Wednesday, August 14, 2013

INFAK FI SABILILLAH

Infak Untuk Madrasah

Kampung Kosten Tengah yang terletak di Pulau Kosten wilayah Kampung Cham ini mempunyai sebuah madrasah untuk pelajar-pelajar tahfiz dan pengajian kitab. Pelajar di sini terdiri daripada lelaki dan perempuan yang kesemuanya berjumlah dalam 350 orang pelajar. Madrasah ini telah melahirkan ramai muallim dan ustaz serta ustazah yang komited dengan penyebaran ilmu agama Islam kepada masyarakat Cham dan juga bangsa Khmer di seluruh negara Kemboja.



Pulau Kosten - yang besar dan melengkok

Terdapat 2 buah madrasah utama di atas pulau tersebut iaitu yang terletak di tengah dan hujong sebelah kiri pulau tersebut yang dinamakan Pulau Kosten Tengah dan Pulau Kosten Hujong. Perkataan Kosten itu berbeza-beza sebutannya, kadang-kadang disebut Kosothin, Kostin dan Kosten. Ejaan rumi nya yang sebenar wallahu'alam. Sebab itu agak sukar mencarinya melalui penggunaan gps. Tambahan pula negara Kemboja lebih banyak menggunakan tulisan Khmer berbanding Inggeris di dalam urusan rasminya. Ini memang boleh menyukarkan pendatang baru.

Kedua-dua buah madrasah tersebut menyediakan pendidikan tahfiz al-Quran, pengajian kitab dan kelas Mu'allim atau penyediaan untuk menjadi tenaga pengajar. Terdapat sekitar 350 orang pelajar lelaki dan perempuan.

Salah sebuah bangunan sekolah yang perlu diperbesarkan untuk menampung jumlah pelajar yang semakin ramai

Sementara tenaga pengajar pula terdiri daripada 2 orang ustaz utama iaitu Ustaz Mansor Bin Nasir dan Ustaz Romli. Ustaz Mansor pernah menuntut di pusat pengajian agama di jabatan mufti Kemboja di Pnom Penh, pondok tahfiz di Yala Thailand, Pondok Pasir Tumboh Kelantan dan di peringkat sanawi di Perlis. Beliau telah tinggal di Malaysia selama lebih 10 tahun dan boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik.

Sementara Ustaz Romli ialah graduan peringkat ijazah di Universiti Islam Madinah Al-Munawwarah dalam kuliah Bahasa Arab. Madrasah yang terletak di pulau Kosten ini adalah madrasah yang paling banyak mengeluarkan para ustaz dan ustazah serta para dae'i yang komited di dalam mengajar serta menyebarkan ilmu Islam kepada masyarakat Islam Champa dan juga bangsa Khmer di Kemboja.

Kiri, Ustaz Mansor dan kanan, Ustaz Romli

Ustaz Romli sedang mengajar dalam kelas

Ustaz Mansor sedang mengajar

Suasana dalam bilik kelas yang serba dhaif dan terlampau crowded



Pelajar dari madrasah ini yang melanjutkan pelajaran ke Malaysia


Ustaz Mansor, sebagai penasihat, mengetuai majlis doa selamat untuk pelajar 



Pelajar-pelajar wanita





Aktiviti-aktiviti pelajar berehlah

Pihak madrasah Pulau Kosten ini amat mengharapkan bantuan daripada saudara-saudara mereka dari Malaysia. Pihak kerajaan Kemboja sememangnya memberikan kebebasan beragama kepada umat Islam Champa dan Kemboja tetapi mereka tidak mengadakan sebarang peruntukan untuk menampung apa-apa aktiviti umat Islam ini, sebagaimana yang dilakukan oleh jabatan-jabatan agama Islam negeri di Malaysia. Walaupun ada sedikit bantuan daripada BaitulMal Kemboja, tetapi bantuan tersebut tidak sampai pun 10% daripada apa yang diperlukan oleh umat Islam Kemboja yang memperjuangkan pedidikan Islam ini.

Bantulah umat Islam Champa di Pulau Kosten ini kerana mereka amat-amat menyayangi agama Islam mereka, lebih daripada nyawa mereka sendiri.

Segala sumbangan ikhlas ini akan digunakan untuk pembangunan pendidikan Islam di pulau tersebut termasuk untuk membesarkan bangunan dan infrastuktur madrasah, menampung keperluan makan-minum pelajar dan membayar gaji guru dan ustaz. Sumbangan saudara-saudara seIslam daripada Malaysia boleh dibuat secara terus dan transparen kepada Ustaz Mansor Nasir atau Siet Saut (iaitu nama rasmi beliau di Kemboja) melalui akaun bank beliau iaitu di Cambodian Public Bank Limited di Pnom Penh seperti berikut:

Akaun Bank Ustaz Mansor Bin Nasir atau Siet Saut
Pasport Antarabangsa Ustaz Mansor 

Segala urusan transaksi sebaik-baiknya dimaklumkan terlebih dahulu sebelum dilaksanakan dengan menghubungi Ustaz Mansor sendiri agar dana tersebut tidak disalah-gunakan tanpa disedari. Beliau boleh dihubungi di nombor telefon Kemboja beliau iaitu:

1.   0085 5975 0578 50   atau

2.   +85 5964 4679 80

atau melalui email beliau iaitu mansurnasir48@yahoo.com.au

atau boleh menghubungi saya di talian 019-356 9095





PENGALAMAN 9 HARI DI KEMBOJA TERMASUK HARI RAYA PUASA



(Gambar background: perkampungan orang Cham di tebing Sungai Mekong)

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuhu

Selamat datang ke blog saya yang tidak seberapa ini. Blog ini ialah kisah penceritaan saya di Kemboja sejak daripada saya mula sampai di negara tersebut pada 3hb Ogos 2013 sehinggalah 13hb Ogos 2013.

Sebenarnya saya mempunyai satu misi untuk dicapai di negara Kemboja. ia boleh diringkaskan seperti berikut:

1.   Menjalin silaturrahim dengan masyarakat Islam Kemboja.

2.   Mengenalpasti jenis-jenis bantuan yang boleh disalurkan kepada penduduk tempatan di kalangan orang Muslim, khususnya kepada institusi-institusi pendidikan Islam.

Memang telah sedia terdapat pelbagai badan NGO dan individu daripada rakyat Malaysia khususnya yang telah dan sedang sekian lama berbakti kepada masyarakat Islam Kemboja sebelum daripada ini. Walaubagaimanapun masing-masing pendekatan, skop dan bakti adalah berbeza dari satu badan kepada badan yang lain. Dan tumbuhnya pelbagai badan bantuan ini adalah satu perkara yang sihat kesemuanya untuk masyarakat Islam Kemboja.

Kesemua badan ini melaksanakan misi bantuan ini hanya dengan satu niat dan tujuan iaitu untuk mencapai keredhaan Ilahi, di samping menjadi bekalan amal yang boleh dibawa sehingga ke liang lahad, in sya Allah.

Misi saya adalah dibantu di belakangnya oleh teman-teman daripada sekolah lama saya iaitu bekas pelajar-pelajar daripada MTD atau MAKTAB TENTERA DIRAJA, SUNGAI BESI pengambilan tahun 1980, atau gelaran manjanya iaitu XPUTRA 1980. Kami bergabung harta, idea dan tenaga untuk tujuan murni ini.

Kami juga mengalu-alukan sumbangan yang sama daripada saudara-saudara seIslam kami di luar sana untuk menjayakan misi ini in syaa Allah.



Penulis berhadapan Masjid Kilometer 8 Pnom Penh - sebiji macam Masjid Negeri di Shah Alam

Masjid ini daripada atas



Sejarah Champa Secara Ringkas

Champa ialah sebuah kerajaan yang kuat dan hebat selama hampir seribu tahun bermula pada awal kurun ke-10 sehingga akhir kurun ke-19. Ia merangkumi sebuah daerah yang luas daripada tengah Vietnam sehingga selatan Vietnam. Islam pula mula menapak di peringkat kerajaan di sana sejak awal kurun ke-14 M, walaupun pada peringkat rakyat, Islam telah menapak lebih awal daripada itu dengan kehadiran para dae'i daripada tanah Arab sejak zaman sahabat Nabi Muhammad saw lagi.



Kerajaan Champa yang asal berwarna hijau


Walaubagaimanapun bangsa Cham ini telah mengalami beberapa peringkat penghijrahan massa sejak dari kurun ke-15 sehingga 19 akibat daripada peperangan dari utara oleh bangsa Vietnam. Kebanyakan daripada mereka yang terpaksa meninggalkan kampung halaman ini telah berpindah jauh ke dalam bahagian darat iaitu ke dalam negara Kemboja, walaupun masih ada yang bertahan di dalam negara asal mereka yang kini telah menjadi negara orang yang berbangsa Vietnam yang ratanya beragama Buddha.


Peta destinasi perjalanan bas dalam negara Kemboja



Bahasa Cham

Orang Champa yang asal bertutur dalam bahasa mereka yang khusus hasil daripada percampuran dengan budaya-budaya yang datang ke tanahair mereka seperti bahasa Sanskrit, Cina dan bahasa-bahasa Nusantara. Hasil daripada pergaulan saya dengan saudara-saudara Cham ini, saya dapat mendengar beberapa kalimat Melayu seperti ayah, mak, tahun, minum, tapi, cantik dan sebagainya. Saya dimaklumkan oleh sahabat Cham saya iaitu Ustaz Mansor Bin Nasir (atau Siem Saut sebagai nama rasmi beliau di Kemboja) bahawa bahasa Cham mempunyai 20% bahasa Melayu di dalamnya yang mana bahasa Melayu itu sendiri mempunyai 30% bahasa Arab pula di dalamnya.


Ustaz Mansor Bin Nasir, 30 tahun bersama anak sulongnya Muhammad Rasymi, 1 tahun



UM (Ustaz Mansor) ini boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik kerana beliau telah tinggal dan menuntut ilmu di Malaysia sejak umurnya 15 tahun sehingga 26 tahun. Beliau banyak membantu saya sepanjang perjalanan saya di Kemboja selama 9 hari tersebut. Beliau berasal dan tinggal di sebuah pulau dalam wilayah Kampung Cham yang bernama pulau Kosten dan bertugas sebagai seorang muallim atau guru di sebuah madrasah tahfiz dan kitab. Beliau seorang yang sangat disegai dan dihormati oleh penduduk tempatan pulau tersebut.

Saya di atas rumah Ustaz Mansor. Rumah ini dan rumah-rumah yang lainnya di sini adalah sekitar 4 meter tingginya, dibuat sedemikian rupa untuk mengelakkan banjir daripada air yang melimpah daripada Sungai Mekong yang berhampiran.




Di kampung ini hanya 2 atau 3 orang Cham sahaja yang boleh bertutur bahasa Melayu. Yang seorang lagi bernama Abang Ali yang pernah bekerja sebagai penjual ais krim di Johor selama 9 tahun dan kini berusia 50 tahun.

Abang Ali, tanpa kopiah. Sedang minum air tebu segelas RM1 ditepi jeti Sungai Mekong menunggu bot untuk pergi ke pulau Kosten, Kampung Cham.



Di jeti menunggu bot untuk ke pulau Kosten dalam wilayah Kampung Cham. Di belakang itulah sungai Mekong dan pulau Kosten.



Menaiki sampan di sungai Mekong dengan pakcik Cham


Dah tiba di pulau Kosten. Kelihatan Masjid/ Madrasah di tebing sungai Mekong ini.


Sekiranya kita pergi secara bersendirian ke Kemboja ini, memanglah sukar untuk bertemu dengan orang tempatan yang boleh berbahasa Melayu untuk membantu kita, hatta bangsa Cham sendiri. Orang Cham yang boleh bertutur bahasa Melayu kebiasaannya adalah mereka yang pernah tinggal lama di Malaysia.

Golongan kedua yang mampu bertutur bahasa Melayu tetapi tidak pernah menjejakkan kaki ke Malaysia, dengan loghat yang agak pelik, ialah golongan ustaz-ustaz. Ini kerana mereka ini sering menadah kitab dan mentelaah bahan-bahan pengajian agama dalam tulisan jawi dan ada yang sering berinteraksi dengan pegawai-pegawai agama yang datang daripada Malaysia untuk memberikan kursus-kursus pentadbiran jabatan agama Islam kepada mereka. Salah seorang daripada mereka ialah Ustaz Amin.


Ustaz Amin, 30 tahun berbaju merah berkopiah putih



Bagi rakyat kebanyakan, mereka hanya boleh bertutur bahasa Cham dan Khmer sahaja. Jarang sekali yang mampu bertutur dalam bahasa Inggeris dengan fasih. Biasanya yang boleh bertutur, hanya sekitar 20-30% sahaja tahap bahasa Inggeris mereka. Oleh yang demikian, bagi rakyat Malaysia yang ingin menziarahi negara ini dengan niat untuk beramah mesra dengan penduduk Cham adalah dinasihatkan supaya mendapatkan khidmat orang Cham yang mampu berbahasa Melayu dengan baik.

Bahasa Cham amat jauh bezanya dengan bahasa Thai atau bahasa Khmer, walaupun orang Thai tinggal berjiran dengan mereka dan orang Khmer merupakan tuan rumah mereka selama 400 tahun lebih. Daripada perbincangan saya dengan UM, bahasa Cham adalah lebih hampir dengan bahasa Melayu jika dibandingkan dengan kedua-dua bahasa Thai dan Khmer.

Mereka juga mempunyai tulisan Cham yang asal, sebelum wujudnya tulisan Cham dalam huruf jawi, berbanding bangsa Melayu yang tidak mempunyai tulisan sendiri tetapi hanya mengambil tulisan jawi sebelum menukarnya kepada rumi sekarang ini. Ini membuktikan bahawa budaya dan tamadun Cham adalah jauh lebih awal dan hebat daripada tamadun Melayu, walaupun kini budaya dan bahasa mereka semakin ditelan zaman dan hampir pupus, sekiranya tidak diambil langkah untuk mempertahankannya.


Tulisan Asal orang Cham



Terjemahan Al-Quran dalam bahasa Cham bertulisan jawi, sebahagiannya diusahakan oleh UM



Kehidupan Sosial dan Budaya orang Cham

Bangsa Cham mengamalkan budaya dan adat resam yang hampir sama dengan orang Melayu di Malaysia dan Nusantara, samada dari segi berpakaian, menyambut hari-hari kebesaran dan lainnya. Dari segi pakaian, jikalau di kampung-kampung pedalaman, mereka gemar memakai jubah, kain pelikat dan baju Melayu. Amat jarang kelihatan orang Cham memakai seluar, kecuali mereka keluar ke bandar, itu pun kadang-kadang berkain pelikat dan berjubah juga.


Saya baru tiba di rumah UM di pulau Kosten, Kampung Cham dan disambut oleh penduduk kampung yang bertali arus yang memang gemar menziarahi tetamu khususnya yang datang daripada Malaysia.



Penduduk Kampung Kosten sedang bersolat Taraweh. Mereka gemar berjubah ketika ke masjid.

Orang Cham juga menjalankan aktiviti perniagaan di pasar-pasar yang kebanyakannya terdiri daripada peniaga bangsa Khmer. Oleh itu tidaklah menghairankan di sini untuk melihat daging lembu dijual bersebelahan dengan daging anu.

Wanita Cham berniaga di pasar Khmer - pakai baju RMC XPutra 1980 

Di tebing sungai Mekong di pulau Kosten ini boleh dilihat bot-bot orang Champa. Mereka ini memang pakar membuat perahu dan bot, satu kemahiran yang diwarisi sejak zaman berzaman dari nenek moyang mereka. Orang berbangsa Khmer yang ramai itu tidak pandai membuat bot seperti orang Cham. 

Walaubagaimanapun orang Cham ini ada yang terlampau faqir hidupnya sampai terpaksa tinggal menetap di dalam bot yang kecil seperti dalam gambar di bawah. Ada yang sebaik selepas berkahwin, terus sahaja tinggal di dalam bot kecil ini bersama zuriat mereka. Kebiasaannya pasangan hidup mereka ini juga adalah anak orang bot juga.

Bot-bot yang berkanvaz biru dan hijau ini adalah tempat tinggal tetap sebilangan orang Cham

Orang-orang Cham sejak tiba dari Vietnam 500 tahun dahulu sebagai pelarian perang, terpaksa lari ke Kemboja dan ramai yang akhirnya menetap di tepi-tepi sungai Mekong. Di sini kebanyakan mereka bekerja menangkap ikan di sungai yang besar dan lebar itu. Sementara orang tempatan atau tuan rumah mereka yang berbangsa Khmer biasanya bekerja sebagai petani dan tinggal lebih jauh ke dalam darat.

Rumah orang Cham di tepi Sungai Mekong

Ada juga orang Cham yang bekerja memelihara dan membiak lembu. Lembu orang-orang Cham memang bersaiz extra large.

Lembu-lembu orang Cham yang besar dan tinggi sama macam tuannya


Berinfak pada bulan Ramadhan

Saya sengaja menetapkan tarikh pemergian saya ke sana pada penghujung bulan puasa 2013 ini untuk melihat sendiri bagaimana orang Cham khususnya di kampung-kampung menyambut hari raya mereka. Sebelum tiba hari raya, saya sempat menunaikan hajat seorang sahabat untuk membayar fidyah kepada fakir miskin Cham dalam bentuk beras.


Saya mewakilkan UM utuk membayar fidyah kepada fakir miskin




Masjid Kampung Kosten Hujung yang terletak di Pulau Kosten




Berinfaq melalui jamuan berbuka puasa kepada ahli kariah kampung di atas masjid yang indah ini yang dibina daripada derma rakyat Malaysia dan orang Arab.




Bahagian bawah masjid. Dengan tikar usang dan berpasir. Di sinilah mereka selalunya berbuka puasa, jikalau tiada saya atau tetamu khas.




Bersedeqah kepada anak-anak Cham



Selamat Hari Raya Eidul Fitri

Maka kini tiba masanya kita berhari raya, tetapi hari raya di kampung orang Cham tidaklah semeriah seperti di Malaysia. Mereka cuma bersolat raya, menziarah kubur yang100 meter di belakang rumah dan menziarahi rumah sahabat handai...semuanya sehingga waktu zohor sahaja. Lepas itu kehidupan kembali seperti sediakala. Memang very dull tetapi itulah adat mereka sesuai dengan kemampuan yang Allah SWT kurniakan kepada mereka.


Menziarah kubur di pagi raya





Beraya di rumah Abg Ali selepas menziarah kubur


Kuih raya orang Cham


Rumah Abang Ali yang antik, menggunakan lantai buloh. tetapi kebanyakan rumah baru sekarang menggunakan papan seperti di Malaysia


Yang penting, mereka kelihatan sangat gembira walaupun hanya menyambut hari raya puasa dalam kawasan sepanjang 100 meter sahaja di dalam Kampung Kosten Tengah ini dan selama tempoh 3 ke 4 jam, berbanding di Malaysia yang melangkaui sempadan negeri dalam tempoh sebulan, pun kadang-kadang masih belum habis beraya.


Jalan-jalan sekitar bandar Pnom Penh


Naik tuk-tuk dengan Ustaz Mansor


Pagoda atas bukit


Duduk sopan tapi tak pakai helmet tengah bandar


Makan tengahari di restoran mamak Malaysia - sedap tapi sepinggan sampai RM17

Shopping baju kurung lawa-lawa dan murah-murah, alas meja, beg dll - pompuan Khmer ni pandai cakap Malayu sebab ramai sangat orang Melayu datang kedai dia


Barangan jualan macam-macam ada




Kain buat baju kurung. Lawa tak? Sepasang RM40 je, Kat Malaysia orang cakap sampai RM100 lebih betul ke?



Beli barang kemas sikit untuk orang pompuan - tempat ni bahaya untuk lelaki kalau bawa orang pompuan, boleh rambang mata tengok barang kemas

Orang Kemboja memang pandai berniaga. Dan mereka juga insistent sifatnya. Contohnya apabila kita telah bersetuju membeli sesuatu, penjual akan buat-buat lambat membungkus barangan tersebut. Sementara itu rakannya yang lain atau kadang-kadang dia sendiri, akan mengempen barang lain pula untuk anda. Kalau anda melayannya, proses pembungkusan barang tadi akan jadi hold sekejap atau lebih lewat lagi.

Dia akan tekan dan tekan anda sehinggalah anda sendiri akan jadi tergoda dengan barang kedua, lepas tu ketiga dan keempat...hehe...memang hebat. Kadang-kadang kita puas hati dengan hasil kempenannya, tetapi ada masa kita jadi menyesal pulak melayannya. Tetapi mungkin masa tu kita ada duit lebih, atau mungkin kita rasa ada duit banyak sebab nilai tukaran wang kita agak tinggi dibandingkan dengan duit mereka. Tu la pasal kita melayannya.