Wednesday, August 14, 2013

PENGALAMAN 9 HARI DI KEMBOJA TERMASUK HARI RAYA PUASA



(Gambar background: perkampungan orang Cham di tebing Sungai Mekong)

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuhu

Selamat datang ke blog saya yang tidak seberapa ini. Blog ini ialah kisah penceritaan saya di Kemboja sejak daripada saya mula sampai di negara tersebut pada 3hb Ogos 2013 sehinggalah 13hb Ogos 2013.

Sebenarnya saya mempunyai satu misi untuk dicapai di negara Kemboja. ia boleh diringkaskan seperti berikut:

1.   Menjalin silaturrahim dengan masyarakat Islam Kemboja.

2.   Mengenalpasti jenis-jenis bantuan yang boleh disalurkan kepada penduduk tempatan di kalangan orang Muslim, khususnya kepada institusi-institusi pendidikan Islam.

Memang telah sedia terdapat pelbagai badan NGO dan individu daripada rakyat Malaysia khususnya yang telah dan sedang sekian lama berbakti kepada masyarakat Islam Kemboja sebelum daripada ini. Walaubagaimanapun masing-masing pendekatan, skop dan bakti adalah berbeza dari satu badan kepada badan yang lain. Dan tumbuhnya pelbagai badan bantuan ini adalah satu perkara yang sihat kesemuanya untuk masyarakat Islam Kemboja.

Kesemua badan ini melaksanakan misi bantuan ini hanya dengan satu niat dan tujuan iaitu untuk mencapai keredhaan Ilahi, di samping menjadi bekalan amal yang boleh dibawa sehingga ke liang lahad, in sya Allah.

Misi saya adalah dibantu di belakangnya oleh teman-teman daripada sekolah lama saya iaitu bekas pelajar-pelajar daripada MTD atau MAKTAB TENTERA DIRAJA, SUNGAI BESI pengambilan tahun 1980, atau gelaran manjanya iaitu XPUTRA 1980. Kami bergabung harta, idea dan tenaga untuk tujuan murni ini.

Kami juga mengalu-alukan sumbangan yang sama daripada saudara-saudara seIslam kami di luar sana untuk menjayakan misi ini in syaa Allah.



Penulis berhadapan Masjid Kilometer 8 Pnom Penh - sebiji macam Masjid Negeri di Shah Alam

Masjid ini daripada atas



Sejarah Champa Secara Ringkas

Champa ialah sebuah kerajaan yang kuat dan hebat selama hampir seribu tahun bermula pada awal kurun ke-10 sehingga akhir kurun ke-19. Ia merangkumi sebuah daerah yang luas daripada tengah Vietnam sehingga selatan Vietnam. Islam pula mula menapak di peringkat kerajaan di sana sejak awal kurun ke-14 M, walaupun pada peringkat rakyat, Islam telah menapak lebih awal daripada itu dengan kehadiran para dae'i daripada tanah Arab sejak zaman sahabat Nabi Muhammad saw lagi.



Kerajaan Champa yang asal berwarna hijau


Walaubagaimanapun bangsa Cham ini telah mengalami beberapa peringkat penghijrahan massa sejak dari kurun ke-15 sehingga 19 akibat daripada peperangan dari utara oleh bangsa Vietnam. Kebanyakan daripada mereka yang terpaksa meninggalkan kampung halaman ini telah berpindah jauh ke dalam bahagian darat iaitu ke dalam negara Kemboja, walaupun masih ada yang bertahan di dalam negara asal mereka yang kini telah menjadi negara orang yang berbangsa Vietnam yang ratanya beragama Buddha.


Peta destinasi perjalanan bas dalam negara Kemboja



Bahasa Cham

Orang Champa yang asal bertutur dalam bahasa mereka yang khusus hasil daripada percampuran dengan budaya-budaya yang datang ke tanahair mereka seperti bahasa Sanskrit, Cina dan bahasa-bahasa Nusantara. Hasil daripada pergaulan saya dengan saudara-saudara Cham ini, saya dapat mendengar beberapa kalimat Melayu seperti ayah, mak, tahun, minum, tapi, cantik dan sebagainya. Saya dimaklumkan oleh sahabat Cham saya iaitu Ustaz Mansor Bin Nasir (atau Siem Saut sebagai nama rasmi beliau di Kemboja) bahawa bahasa Cham mempunyai 20% bahasa Melayu di dalamnya yang mana bahasa Melayu itu sendiri mempunyai 30% bahasa Arab pula di dalamnya.


Ustaz Mansor Bin Nasir, 30 tahun bersama anak sulongnya Muhammad Rasymi, 1 tahun



UM (Ustaz Mansor) ini boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik kerana beliau telah tinggal dan menuntut ilmu di Malaysia sejak umurnya 15 tahun sehingga 26 tahun. Beliau banyak membantu saya sepanjang perjalanan saya di Kemboja selama 9 hari tersebut. Beliau berasal dan tinggal di sebuah pulau dalam wilayah Kampung Cham yang bernama pulau Kosten dan bertugas sebagai seorang muallim atau guru di sebuah madrasah tahfiz dan kitab. Beliau seorang yang sangat disegai dan dihormati oleh penduduk tempatan pulau tersebut.

Saya di atas rumah Ustaz Mansor. Rumah ini dan rumah-rumah yang lainnya di sini adalah sekitar 4 meter tingginya, dibuat sedemikian rupa untuk mengelakkan banjir daripada air yang melimpah daripada Sungai Mekong yang berhampiran.




Di kampung ini hanya 2 atau 3 orang Cham sahaja yang boleh bertutur bahasa Melayu. Yang seorang lagi bernama Abang Ali yang pernah bekerja sebagai penjual ais krim di Johor selama 9 tahun dan kini berusia 50 tahun.

Abang Ali, tanpa kopiah. Sedang minum air tebu segelas RM1 ditepi jeti Sungai Mekong menunggu bot untuk pergi ke pulau Kosten, Kampung Cham.



Di jeti menunggu bot untuk ke pulau Kosten dalam wilayah Kampung Cham. Di belakang itulah sungai Mekong dan pulau Kosten.



Menaiki sampan di sungai Mekong dengan pakcik Cham


Dah tiba di pulau Kosten. Kelihatan Masjid/ Madrasah di tebing sungai Mekong ini.


Sekiranya kita pergi secara bersendirian ke Kemboja ini, memanglah sukar untuk bertemu dengan orang tempatan yang boleh berbahasa Melayu untuk membantu kita, hatta bangsa Cham sendiri. Orang Cham yang boleh bertutur bahasa Melayu kebiasaannya adalah mereka yang pernah tinggal lama di Malaysia.

Golongan kedua yang mampu bertutur bahasa Melayu tetapi tidak pernah menjejakkan kaki ke Malaysia, dengan loghat yang agak pelik, ialah golongan ustaz-ustaz. Ini kerana mereka ini sering menadah kitab dan mentelaah bahan-bahan pengajian agama dalam tulisan jawi dan ada yang sering berinteraksi dengan pegawai-pegawai agama yang datang daripada Malaysia untuk memberikan kursus-kursus pentadbiran jabatan agama Islam kepada mereka. Salah seorang daripada mereka ialah Ustaz Amin.


Ustaz Amin, 30 tahun berbaju merah berkopiah putih



Bagi rakyat kebanyakan, mereka hanya boleh bertutur bahasa Cham dan Khmer sahaja. Jarang sekali yang mampu bertutur dalam bahasa Inggeris dengan fasih. Biasanya yang boleh bertutur, hanya sekitar 20-30% sahaja tahap bahasa Inggeris mereka. Oleh yang demikian, bagi rakyat Malaysia yang ingin menziarahi negara ini dengan niat untuk beramah mesra dengan penduduk Cham adalah dinasihatkan supaya mendapatkan khidmat orang Cham yang mampu berbahasa Melayu dengan baik.

Bahasa Cham amat jauh bezanya dengan bahasa Thai atau bahasa Khmer, walaupun orang Thai tinggal berjiran dengan mereka dan orang Khmer merupakan tuan rumah mereka selama 400 tahun lebih. Daripada perbincangan saya dengan UM, bahasa Cham adalah lebih hampir dengan bahasa Melayu jika dibandingkan dengan kedua-dua bahasa Thai dan Khmer.

Mereka juga mempunyai tulisan Cham yang asal, sebelum wujudnya tulisan Cham dalam huruf jawi, berbanding bangsa Melayu yang tidak mempunyai tulisan sendiri tetapi hanya mengambil tulisan jawi sebelum menukarnya kepada rumi sekarang ini. Ini membuktikan bahawa budaya dan tamadun Cham adalah jauh lebih awal dan hebat daripada tamadun Melayu, walaupun kini budaya dan bahasa mereka semakin ditelan zaman dan hampir pupus, sekiranya tidak diambil langkah untuk mempertahankannya.


Tulisan Asal orang Cham



Terjemahan Al-Quran dalam bahasa Cham bertulisan jawi, sebahagiannya diusahakan oleh UM



Kehidupan Sosial dan Budaya orang Cham

Bangsa Cham mengamalkan budaya dan adat resam yang hampir sama dengan orang Melayu di Malaysia dan Nusantara, samada dari segi berpakaian, menyambut hari-hari kebesaran dan lainnya. Dari segi pakaian, jikalau di kampung-kampung pedalaman, mereka gemar memakai jubah, kain pelikat dan baju Melayu. Amat jarang kelihatan orang Cham memakai seluar, kecuali mereka keluar ke bandar, itu pun kadang-kadang berkain pelikat dan berjubah juga.


Saya baru tiba di rumah UM di pulau Kosten, Kampung Cham dan disambut oleh penduduk kampung yang bertali arus yang memang gemar menziarahi tetamu khususnya yang datang daripada Malaysia.



Penduduk Kampung Kosten sedang bersolat Taraweh. Mereka gemar berjubah ketika ke masjid.

Orang Cham juga menjalankan aktiviti perniagaan di pasar-pasar yang kebanyakannya terdiri daripada peniaga bangsa Khmer. Oleh itu tidaklah menghairankan di sini untuk melihat daging lembu dijual bersebelahan dengan daging anu.

Wanita Cham berniaga di pasar Khmer - pakai baju RMC XPutra 1980 

Di tebing sungai Mekong di pulau Kosten ini boleh dilihat bot-bot orang Champa. Mereka ini memang pakar membuat perahu dan bot, satu kemahiran yang diwarisi sejak zaman berzaman dari nenek moyang mereka. Orang berbangsa Khmer yang ramai itu tidak pandai membuat bot seperti orang Cham. 

Walaubagaimanapun orang Cham ini ada yang terlampau faqir hidupnya sampai terpaksa tinggal menetap di dalam bot yang kecil seperti dalam gambar di bawah. Ada yang sebaik selepas berkahwin, terus sahaja tinggal di dalam bot kecil ini bersama zuriat mereka. Kebiasaannya pasangan hidup mereka ini juga adalah anak orang bot juga.

Bot-bot yang berkanvaz biru dan hijau ini adalah tempat tinggal tetap sebilangan orang Cham

Orang-orang Cham sejak tiba dari Vietnam 500 tahun dahulu sebagai pelarian perang, terpaksa lari ke Kemboja dan ramai yang akhirnya menetap di tepi-tepi sungai Mekong. Di sini kebanyakan mereka bekerja menangkap ikan di sungai yang besar dan lebar itu. Sementara orang tempatan atau tuan rumah mereka yang berbangsa Khmer biasanya bekerja sebagai petani dan tinggal lebih jauh ke dalam darat.

Rumah orang Cham di tepi Sungai Mekong

Ada juga orang Cham yang bekerja memelihara dan membiak lembu. Lembu orang-orang Cham memang bersaiz extra large.

Lembu-lembu orang Cham yang besar dan tinggi sama macam tuannya


Berinfak pada bulan Ramadhan

Saya sengaja menetapkan tarikh pemergian saya ke sana pada penghujung bulan puasa 2013 ini untuk melihat sendiri bagaimana orang Cham khususnya di kampung-kampung menyambut hari raya mereka. Sebelum tiba hari raya, saya sempat menunaikan hajat seorang sahabat untuk membayar fidyah kepada fakir miskin Cham dalam bentuk beras.


Saya mewakilkan UM utuk membayar fidyah kepada fakir miskin




Masjid Kampung Kosten Hujung yang terletak di Pulau Kosten




Berinfaq melalui jamuan berbuka puasa kepada ahli kariah kampung di atas masjid yang indah ini yang dibina daripada derma rakyat Malaysia dan orang Arab.




Bahagian bawah masjid. Dengan tikar usang dan berpasir. Di sinilah mereka selalunya berbuka puasa, jikalau tiada saya atau tetamu khas.




Bersedeqah kepada anak-anak Cham



Selamat Hari Raya Eidul Fitri

Maka kini tiba masanya kita berhari raya, tetapi hari raya di kampung orang Cham tidaklah semeriah seperti di Malaysia. Mereka cuma bersolat raya, menziarah kubur yang100 meter di belakang rumah dan menziarahi rumah sahabat handai...semuanya sehingga waktu zohor sahaja. Lepas itu kehidupan kembali seperti sediakala. Memang very dull tetapi itulah adat mereka sesuai dengan kemampuan yang Allah SWT kurniakan kepada mereka.


Menziarah kubur di pagi raya





Beraya di rumah Abg Ali selepas menziarah kubur


Kuih raya orang Cham


Rumah Abang Ali yang antik, menggunakan lantai buloh. tetapi kebanyakan rumah baru sekarang menggunakan papan seperti di Malaysia


Yang penting, mereka kelihatan sangat gembira walaupun hanya menyambut hari raya puasa dalam kawasan sepanjang 100 meter sahaja di dalam Kampung Kosten Tengah ini dan selama tempoh 3 ke 4 jam, berbanding di Malaysia yang melangkaui sempadan negeri dalam tempoh sebulan, pun kadang-kadang masih belum habis beraya.


Jalan-jalan sekitar bandar Pnom Penh


Naik tuk-tuk dengan Ustaz Mansor


Pagoda atas bukit


Duduk sopan tapi tak pakai helmet tengah bandar


Makan tengahari di restoran mamak Malaysia - sedap tapi sepinggan sampai RM17

Shopping baju kurung lawa-lawa dan murah-murah, alas meja, beg dll - pompuan Khmer ni pandai cakap Malayu sebab ramai sangat orang Melayu datang kedai dia


Barangan jualan macam-macam ada




Kain buat baju kurung. Lawa tak? Sepasang RM40 je, Kat Malaysia orang cakap sampai RM100 lebih betul ke?



Beli barang kemas sikit untuk orang pompuan - tempat ni bahaya untuk lelaki kalau bawa orang pompuan, boleh rambang mata tengok barang kemas

Orang Kemboja memang pandai berniaga. Dan mereka juga insistent sifatnya. Contohnya apabila kita telah bersetuju membeli sesuatu, penjual akan buat-buat lambat membungkus barangan tersebut. Sementara itu rakannya yang lain atau kadang-kadang dia sendiri, akan mengempen barang lain pula untuk anda. Kalau anda melayannya, proses pembungkusan barang tadi akan jadi hold sekejap atau lebih lewat lagi.

Dia akan tekan dan tekan anda sehinggalah anda sendiri akan jadi tergoda dengan barang kedua, lepas tu ketiga dan keempat...hehe...memang hebat. Kadang-kadang kita puas hati dengan hasil kempenannya, tetapi ada masa kita jadi menyesal pulak melayannya. Tetapi mungkin masa tu kita ada duit lebih, atau mungkin kita rasa ada duit banyak sebab nilai tukaran wang kita agak tinggi dibandingkan dengan duit mereka. Tu la pasal kita melayannya.



1 comment:

mdnasiridris said...

Assalamu`alaikum warahmatullah.
Insha ALLAH, pada 22.10 hingga 26.10 saya dan 4 orang lagi rakan akan mengembara secara backpacking ke Seam Reap, Pnom Penh dan Ho Chi Minh. 22.10 dari LCCT ke SEam Reap bertolak jam 6.50 pagi. Dari Seam Reap ke Pnom Penh dengan bas dari dari PP ke HCM juga dengan bas. Dari HCM ke LCCT berangkat jam 8.30 pagi. Jadi rasanya masa agak terhad namun begitu kami tidak bercadang melawat Angkor Wat, cuma kami akan bergambar di hadapan tembok Angkor Wat sahaja sebagai tanda kami dah sampai sepertimana saya dan seorang rakan ke YogYakarta tahun lepas, kami pergi ke Borobudur tapi setakat bergambar di hadapan pintu masuk sahaja.
Sebenarnya tujuan kami ke Kemboja dan Vietnam lebih di fokuskan untuk ziarah dan ber silatur rahmi dengan masyarakat Islam di sana. Oleh itu saya akan ziarah nasjid nikmah di Seam Reap ( 1 mlm shj ). Bagaimana caranya nak pergi ke Kampung Ustaz Mansur? Mana lebih dekat : dari Pnom Penh atau Seam Reap. Kami juga hanya 1 mlm di Pnom Penh. Di Ho Chi Minh cadangan 2 mlm.
Saya lulusan Universiti Islam Madinah dan rakan2 saya ada yang lulusan Universiti Islam Al Imam Muhammad Bin saud, Riyadh, Universiti Khartum, Sudan dan university al Azhar.Oleh kerana kami dalam bidang pendidikan maka sudah tentu kami nak lihat proses pembelajaran dan pengajaran disana.
Sekian. Wassalamu`alaikum warahmatullah.

naasiha@yahoo.com