Thursday, August 22, 2013

Mengapa Bersedeqah Di Kemboja? Di Malaysia kan ramai yang miskin?

Ada sesetengah pihak bertanyakan saya soalan ini - mengapa tuan bersedeqah di Kemboja, sedangkan di negara Malaysia kita pun masih ramai orang miskin?

Benar, di Malaysia pun memang terdapat ramai golongan miskin. Cuma bezanya orang miskin di Malaysia mendapat perhatian dan bantuan material daripada pihak kerajaan Malaysia dan juga perhatian daripada rakyatnya yang kaya atau berduit. Golongan seperti di Malaysia pula ramai yang suka bersedeqah sehingga begitu ramai peminta sedeqah daripada negara lain datang ke Malaysia untuk meminta sedeqah dan kebanyakan mereka ini berjaya pula di dalam usaha mereka itu.

Adapun di Kemboja, orang miskinnya tidak LANGSUNG mendapat perhatian, apatah lagi bantuan material daripada pihak kerajaannya. Kalau adapun rakyat Muslimnya yang kaya, golongan tersebut kebanyakannya lebih suka berenak-enakan di dalam kekayaannya daripada membantu saudara mereka yang miskin. Inilah yang saya lihat sendiri di sana dan juga dikhabarkan oleh Ustaz Mansor dan rakan-rakannya sendiri.

Tidak kurang juga yang menyatakan bahawa orang Kemboja yang datang berniaga kain dan sebagainya di Malaysia sudah menjadi kaya-raya. Benar, tetapi persoalannya adakah mereka yang sudah kaya-raya ini membantu saudara mereka di tanahair mereka sendiri? Saya juga mendapat jawapan yang negatif daripada teman-teman saya di Kemboja. Mungkin ada, tetapi kita sahaja yang tidak nampak hasilnya secara fizikal.

DI Pulau Koh Sotin (kesilapan mengeja sebelum ini, maaf. Bukan Kosten, tetapi Koh Sotin) misalnya, saya dapat melihat kuil-kuil dan berhala yang besar dan cantik. Saya dikhabarkan oleh Ustaz Mansor bahawa semuanya itu atau kebanyakan kosnya ditanggung oleh kerajaan. Tetapi untuk membina masjid, pihak kerajaan Kemboja memang tidak pernah memberikan sebarang bantuan kepada rakyat Islamnya.

Ustaz Mansor mengkhabarkan bahawa beliau sendiri beberapa kali telah datang ke Malaysia untuk memohon derma daripada masyarakat Muslim di Malaysia, kerana apa? 

Pernahkah rakyat Malaysia yang miskin pergi ke Kemboja atau negara lain yang lebih mewah untuk memohon derma? Jarang sangat kedengaran kan? Pernahkah seorang pun daripada mereka yang bermazhab "tolong orang sendiri dahulu" ini pergi melihat sendiri keadaan kemiskinan melampau di negara Kemboja dan bagaimana peritnya ustaz-ustaz dan pelajar-pelajarnya hidup, makan dan tinggal di sana?

Keadaan dalam bilik kelas yang serba dhaif


Sekiranya kita sentiasa bersedeqah kepada umat Islam miskin yang menjadi minoriti di negara bukan Islam, perlukah mereka datang ke negara kita untuk meminta sedeqah? Mungkin perlu tetapi tidaklah seramai mana yang akan datang.

Sekiranya kita membantu mereka dengan mewujudkan pelbagai projek seperti projek pertanian atau penternakan, adakah perlu lagi bagi mereka untuk datang sendiri dan mencari pekerjaan atau berniaga di negara kita, dan seterusnya mewujudkan pelbagai masalah sosial dan ekonomi kepada negara ini? Sudah tentu tidak.

Ustaz Mansur Nasir - antara ustaz-ustaz yang sanggup berkorban diri dan harta dengan tetap tinggal dii Kampung Koh Sotin yang serba dhaif untuk meneruskan kerja-kerja dakwah daripada berhijrah ke tempat lain yang lebih selesa dan subur halamannya

Misi Bantuan Qurban

Saya juga pernah mendengar semacam fatwa dikeluarkan di Malaysia ini oleh sesetengah pihak, yang memang tiada autoriti sebagai mufti, tentang haram hukumnya umat Islam di Malaysia menjalankan ibadah Qurban di Kemboja selepas ini. Alasannya ialah kerana di Malaysia ini masih ramai umat Islam yang miskin - samalah juga seperti alasan di atas.

Tetapi pernahkah mereka mendengar bahawa di bandar-bandar besar di Malaysia ini pernah terdapat masjid-masjid yang menyembelih lembu terlalu banyak sehingga berpuluh-puluh ekor pada Hari Raya Korban? Dan daging-daging tersebut tertinggal busuk begitu sahaja kerana tiada orang yang datang mengambilnya?

Sebenarnya sehingga kini saya pun merasa peliklah sangat, mengapa masih ada orang yang tidak faham erti sedeqah dan qurban sehingga mengehadkan batasan sempadan negeri untuk melaksanakan kedua-dua ibadah ini?

Memang ada dinyatakan di dalam al-Quran bahawa keutamaan berinfak ini haruslah didahului dengan kaum keluarga sendiri dahulu, kemudian jiran tetangga, seterusnya pergi daripada yang dekat kepada yang jauh dan lebih jauh lagi.

Tetapi bagaimana keadaannya sekiranya pihak 8 asnaf di Malaysia ini dibantu oleh pelbagai organisasi samada oleh Jabatan Agama Negerinya, Baitulmalnya, NGOnya dan orang-orang kayanya? Sedangkan keadaan yang sama tidak wujud di negara-negara seperti Kemboja dan Myanmar?

Pepatah Melayu ada menyebut, "kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan". Inilah di antara alasan yang digunakan oleh golongan yang tidak gemar membantu golongan miskin di luar negara, walaupun bangsa tersebut ada mengucapkan perkataan dan istilah Melayu di dalam bahasa mereka sebanyak 20%, iaitu bangsa Melayu Champa. Sebenarnya kalau diperhatikan betul-betul, kebanyakan daripada anak-anak di rumah telah elok dan sempurna makan-pakainya, tetapi "kera di hutan" yang bercakap bahasa yang agak sama dengan kita dan beragama Islam itu masih terlalu ramai yang hanya makan sekali sehari, itupun kalau mereka makan langsung dalam sehari, dan bertelanjang.

Sekiranya umat Islam miskin di negara-negara tersebut di datangi oleh puak-puak missionary atau pendakyah Kristian, lalu mereka menaburkan wang dan pelbagai bantuan, lalu ada yang sanggup murtad disebabkan kepapaan yang melampau, adakah kita yang bermazhab "tolong orang sendiri dahulu" ini tidak akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT di sana nanti?

Walaubagaimanapun gejala murtad ini jarang sangat kedengaran berlaku di Kemboja. Sehingga sekarang pegangan umat Islamnya kepada agama masih kental walaupun ada yang masih terpaksa tinggal di dalam bot atau sampan sahaja. Walaupun tinggal di dalam bot dan sampan yang kecil, terpaksa duduk sepanjang masa dan tidak boleh berdiri kerana paras bumbungnya di paras pinggang sahaja, masih ramai di kalangan mereka ini masih mampu bersolat fardhu di masjid bila azan kedengaran.

Tempat tinggal TETAP sebahagian orang Cham MUSLIM bersama keluarganya sekali. Mereka ini parking bot masing-masing dekat dengan kawasan masjid dan madrasah (di belakang sana) supaya mudah ke masjid untuk bersolat jamaah.


Tetapi di Malaysia? Memang ramai yang mewah, tetapi rupa-rupanya, bagi kebanyakan mereka, kemewahan merekalah yang menjadi penghalang untuk mereka bersolat fardhu di masjid, kecuali solat Jumaat dan Hari Raya.

No comments: